Kita dengan ‘kedewasaan’Buku ‘Life is an open secret’ karya Zabrina A. Bakar, sudah saya baca melebihi 50%. Pembukaannya telah cukup buat saya semakin kurang sabar mengenangkan cerita kita sebagai remaja dan ‘kedewasaan’ kita yang mengenepikan ibu bapa.
Bacaan saya mengingatkan pada perbualan saya dengan seseorang yang dah pun bergelar ibu.
‘Sekarang ni, mak ayah pulak yang takut pada anak-anak….’ Katanya dalam nada sayu.
Saya yang mendengar pun sudah terasa, walau saya belum berumahtangga, tapi sayu saya kerana memikirkan adakah saya tergolong dikalangan anak yang ‘ditakuti’ ibubapa sendiri… nauzubillahiminzalik.
Moga diampunkan setiap dosa-dosa saya terhadap mereka.
Dia terus sebak tanpa meneruskan bicara.
Sedari dulu kelemahan saya yang berjaya saya kenalpasti adalah, saya pantang lihat orang mengalirkan air mata, atas sebab apa sekalipun, saya akan turut serta.
Takkan saya pun nak menangis depan makcik ni? Saya cuba tahan sebaik mungkin.
Membiarkan dia dengan cerita mengenai anak-anaknya.
Cerita seperti ini banyak kali saya dengar.
Sedih dan marah bercampur baur.Seorang ibu sentiasa berfikir dua kali, pertama untuk dirinya, dan kedua buat anak tercinta. Namun, seorang anak, biasanya sentiasa memikirkan diri sendiri dan berkehendak si ibu menuruti fikirannya.Kenapa kita sekarang hingga sanggup mengkhianati kepercayaan mak ayah kepada kita? Berapa banyak anak-anak remaja wanita yang sanggup membuang ibu bapa demi teman lelaki? Berapa banyak yang membuang keluarga demi memenuhi kehendak dan keperluan ‘kedewasaan’ diri? Lupakah mereka dengan bisikan semangat ibu bapa selama ini? Lupakah kita dengan rangsangan mak ayah saat kita jatuh tersungkur? Lupakah kita pada mak ayah yang sentiasa tersenyum dengan kegagalan dan kelemahan kita saat teman lain mungkin mencemuh dan memandang hina pada kita?Dimana kita saat mereka memerlukan kita bukan untuk menuntut balasan, namun amat memerlukan perhatian kita dek kerana keuzuran? Berapa ramai yang sanggup memimpin ibu bapa yang uzur ini tanpa mencebik dan mengeluh sedikit pun? Tanpa alasan walau dalam kesibukan yang menghambat? Lupakah kita pada ibu bapa yang mengusap pasir dan kotoran pada siku dan lutut kita saat kita terjatuh ketika mula bertatih dan saat belajar mengayuh basikal? Lupakah kita pada ibu yang berjaga kerana tangisan kita?Aduh...apakah ada kekurangan atas didikan yang mereka berikan ke atas kita sehingga kita lupa akan jasa-jasa mereka? Masih relevankah menyalahkan mereka setelah begitu banyak pengorbanan yang mereka lakukan untuk kita, bukan kita seorang, tetapi kepada adik beradik yang lain? Tidak, tidak ya ALLAH. Mana mungkin saya menyalahkan mak dan ayah atas keterlanjuran saya dan adik beradik lain hari ini. Itu semua sesungguhnya kelemahan saya sendiri dan kita sendiri dalam memahami ajaran mereka tentang agama ALLAH swt. Itu semua berpunca atas ego kita dengan ‘kedewasaan’ kita kononnya dan kemungkinan atas ketinggian ilmu kita berbanding mereka. Apa gunanya ilmu kita jika kita tidak beramal kepada orang tua yang banyak berjasa sehingga kita berada ditahap sekarang. Itu salah kami ya ALLAH.. Salah kita !!
23. Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun).24. Dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, Dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."~Surah Al-Israa’, Ayat 23-24~
Mari sama-sama kita muhasabah sendiri ‘keterlanjuran’ kita terhadap kedua ibu bapa kita dek kerana sikap ‘kedewasaan’ kita sebelum terlambat. Mohon maaf sentiasa. Tidak perlu malu menyatakan sayang dan cinta pada mereka, dan menunjukkan nya melalui pelukan mahupun ciuman pada bila-bila masa sekalipun, biarlah dikatakan manja atau ‘mengada’, kerana kelak kita tidak perlu menyesal atas keterlewatan untuk berbuat demikian atas sebujur tubuh kaku tanpa sedikit balasan pun. Sebelum terlambat, balas lah kasih mereka semoga kelak pemergian mereka dalam ketenangan setelah sempat merasakan balasan kasih sayang daripada kita semula. Uhibbu usrati!!
Catatan oleh nahwanNur pada 12:32 PM
Kategori: baiti jannati, Muslimah solehah, psikologi alam bina
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment